Thursday 13 October 2011

Alumni Terbilang SAMUSKD: Mohamad Hamdan Muhamed Dalha

Tahun 2003
Hamdan (duduk bahagian belakang, paling kiri), bergambar
kenangan bersama Ustazah Shanti danrakan-rakan sekelasnya,
Tingkatan 4 Fairuz, di kantin sekolah, SAMUSKD.  

Hamdan dan dua rakannya yang meraih Anugerah Pelajaran Diraja,
Ayu Abd Rahman (kiri) dan Stephanie Ng-Hao.

Hamdan bersama Pingat Emas Canselornya.

RAHSIA PINGAT EMAS CANSELOR 
Pencapaian akademik yang cemerlang selain aktif dalam aktiviti kokurikulum di peringkat kolej kediaman dan universiti melayakkan Mohamad Hamdan Muhamed Dalha meraih Pingat Emas Canselor pada Majlis Konvokesyen ke-23 2010, Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini.

Anak muda yang gemar melayari Internet ini nyata mempunyai rahsia tersendiri mengenai bagaimana dia menguruskan rutin hariannya, sama ada untuk belajar dan bersosial hingga membolehkannya memperoleh anugerah tertinggi dalam bidang akademi itu.

Enam semester raih Anugerah Dekan
Hamdan, 24, yang mengambil jurusan Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam dengan Kepujian pada semester Julai 2006/2007, dilahirkan pada 16 Mac 1987 di Banting, Selangor.

Hamdan (paling kiri) bergambar kenangan bersama rakan sekelasnya
di Tingkatan 4 Fairuz, pada tahun 2003.
Anak kepada pekebun dan suri rumah, Muhamed Dalha Mod Judi dan Jamilah Haji Sinong ini mendapat pendidikan menengah di SAM, Unwanus Saadah, Kanchong Darat di Banting, Selangor.

Dia seterusnya mengorak langkah ke Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan dengan mengambil bidang perakaunan sebelum melanjutkan pengajian di UUM dalam jurusan kewangan dan perbankan Islam.

Sepanjang pengajian selama tiga tahun di UUM, Hamdan berjaya mengekalkan pencapaian akademik cemerlang dengan memperoleh Peratus Markah Kumpulan (PMK), 3.89 pada semester akhir pengajiannya.

Bukan itu saja, dia juga tidak pernah gagal memperoleh Anugerah Dekan sepanjang tempoh enam semester terdahulu bermula Julai 2006/2007 hingga Disember 2008/2009.

Hamdan ketika ditanya mengenai rahsianya belajar hingga meraih kejayaan cemerlang menyatakan segalanya bergantung kepada pemahaman seseorang pelajar itu dalam memahami ilmu yang diperoleh daripada pensyarah dan sumber lain.

“Apabila kita mendapat sesuatu ilmu pengetahuan, kita kena terjemahkan kepada ayat sendiri.”

“Walaupun ia fakta, kita kena bergantung kepada pemahaman kita. Jika kita tidak faham satu-satu ilmu itu, maka ilmu tersebut tidak sampai,” katanya.

Selain akademik, Hamdan turut aktif dalam aktiviti kokurikulum dan kemasyarakatan di kampus dilantik sebagai AJK Biro Kerohanian bagi Program TM Wonderful Creation sebagai Bendahari bagi program gotong-royong Dewan Penginapan Pelajar (DPP) TM pada sesi akademik 2007/2008.

Pada sesi sama juga dia dipilih menjadi AJK bagi program Hari Terbuka DPP TM dan pelbagai aktiviti lain di peringkat universiti.

Pada semester berikutnya, Hamdan dipilih mengemudi Biro Logistik dan Teknikal bagi program 4Aces TM Lan Party dan Pengarah bagi Program Doktor FM2 for FABS Finance and Banking Society (FABS).

Suka Internet
Hamdan menyatakan dia bukanlah termasuk dalam kalangan mereka yang sentiasa berkepit dengan buku-buku.

Malah, dia mengakui minatnya adalah melayari Internet untuk mendapatkan pelbagai maklumat dalam memastikan dirinya sentiasa peka dengan perkembangan terkini.

“Saya bukan setakat melayari laman web seperti Facebook, tetapi laman web yang kerap saya layari sekarang ialah yang ada kaitan dengan dunia perbankan. Tambahan lagi, ia ada kena mengena dengan kerjaya saya sekarang.”

“Daripada perbandingan maklumat yang diperoleh, saya akan dapat menstrukturkan idea untuk keperluan orang awam,” katanya.

Menurutnya, latihan praktikal di Suruhanjaya Sekuriti Malaysai (SSM) membuka peluang pekerjaan kepadanya apabila dia terus ditawarkan berkhidmat untuk Bank Simpanan Nasional (BSN) sebaik saja tamat pengajian di UUM.

“Tiada istilah menganggur dalam hidup saya kerana saya terus bekerja selepas tamat latihan praktikal,” katanya yang kini bertugas di ibu pejabat BSN, Kuala Lumpur sebagai Eksekutif Perkhidmatan Pembayaran.

Sementara itu, tunang Hamdan, Nurhidayah Azizan, 24, yang menemaninya ke majlis konvokesyen itu berkata, tunangnya itu seorang yang sangat fokus ketika belajar,  terutama ketika dalam kelas dan langsung tidak terkejut dengan anugerah yang diperolehnya itu.

“Setakat yang saya kenal, dia seorang yang sangat penyabar dalam menghadapi apa jua masalah.”

“Namun, antara perangai peliknya yang saya perasan ialah dia masih boleh ingat apa yang dipelajarinya walaupun sedang bermain games. Misalnya, sambil asyik main tu, dia akan cakap apa saja yang dia belajar sebelum itu,” katanya.

Selain Pingat Emas yang diperoleh dalam majlis konvokesyen kali ini, dia juga pernah mendapat pengiktirafan pihak universiti atas kecemerlangannya dalam bidang akademik pada majlis konvokesyen sebelum ini seperti Pingat Emas Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Pingat Emas Naib Canselor dan Pingat Emas Bank Rakyat.


Sumber asal:

2011: SAMUSKD Tercinta.













Sekilas Pandang: Landskap SAMUSKD (Tahun 2000)









Kenangan Lawatan Pelancong Jepun ke SAMUSKD (Tahun 2000)




Sepanjang Jalan Kenangan: SAMUSKD.









Wednesday 12 October 2011

MALAM KEBUDAYAAN & ALUMNI SAMUSKD

Pemberitahuan

Tema : "Malam Seribu Kenangan"
Tarikh : 17/12/2011
Tempat : Gold Cost Resort, Morib
Masa : 8.00 malam
Anjuran : Pelajar Tingkatan 5 SAMUSKD dan Jawatankuasa Penaja Alumni SAMUSKD
Bayaran : DEWASA : RM60 (seorang)
               KANAK-KANAK : RM 20 (seorang)

Majlis diadakan utk mengumpulkan kembali bekas pelajar SAMUSKD dan mengeratkan lagi ukhuwah yang sudah terbina. Marilah kita menyambung kembali memori indah pada zaman persekolahan.

Acara ini terbuka kepada semua SAMUSKDian (bekas pelajar/guru/kakitangan SAMUSKD) dari awal penubuhannya hingga tahun 2010.

(RM60 termasuklah makan malam, pentas, dewan, P.A system, dan buku khas untuk setiap seorang tetamu yang hadir.
 
Kerjasama dan sokongan SAMUSKDian semua amatlah dihargai. Terima kasih.
Kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai, sila hubungi :
017-2501602 (Athif) dan/atau 017-3538972 (Syazwan)

Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Pertama, Alumni SAMUSKD

Pemberitahuan

Salam ‘alaik.

Alhamdulillah, sebentar tadi, kurang lebih jam 11.00 pagi (13hb Oktober 2011), Tuan Pengetua SAMUSKD yang baru, iaitu Cikgu Mohd Latif bin Sadli, telah meluluskan penggunaan Dewan SAMUSKD bagi tujuan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Pertama Alumni SAMUSKD, pada 24hb Disember 2011.

Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Pertama Alumni SAMUSKD ini adalah bertujuan untuk membubarkan Jawatankuasa Penaja Alumni SAMUSKD, serta melantik Ahli Jawatankuasa bagi Alumni SAMUSKD.

Dan, bagi membincangkan usul-usul berkenaan penambahbaikan yang boleh dicadang serta dilaksanakan bagi kemaslahatan Alumni serta SAMUSKD sendiri secara khususnya.

Untuk pengetahuan SAMUSKDian sekalian, Jawatankuasa Penaja Alumni SAMUSKD telah pun ditubuhkan dalam satu mesyuarat yang dianjurkan di Dewan Serbaguna Taman Damai, Morib pada 24 Jun 2010.

Sementelahan, pada 30 Jun 2010, Kertas Kerja “Cadangan Penubuhan Alumni SAMUSKD” telah diserahkan kepada Yang Berusaha Tuan Pengetua SAMUSKD ketika itu, iaitu Encik Arrifin bin Rabu.

Kertas kerja tersebut kemudiannya telah pun diluluskan oleh Encik Arrifin bin Rabu, menerusi satu mesyuarat yang dijalankan oleh beliau bersama pihak pentadbiran dan guru-guru SAMUSKD.

Selepas Mesyuarat Agung Tahunan tersebut, pihak Jawatankuasa Alumni SAMUSKD akan berusaha untuk mendaftarkan Alumni SAMUSKD sebagai sebuah pertubuhan berdaftar di Pendaftar Pertubuhan (Registrar of Societies).

Oleh yang demikian, diharapkan agar SAMUSKDian dapat melapangkan diri pada tarikh 24hb Disember 2011 tersebut bagi menghadiri AGM Pertama kita semua ini.

Sekian, harap maklum.

“Ke Arah Kemantapan Rohani, Sakhsiah dan Ukhwahfillah”

 
* Nota hujung: AGM ini akan dianjurkan kurang lebih seminggu selepas Malam Kebudayaan dan Alumni SAMUSKD. 

Jadi, kami mengharapkan agar sokongan padu diberikan oleh semua SAMUSKDian, tanpa mengira batch, terhadap kedua-dua Malam Kebudayaan dan AGM ini.